14 APRIL 2023
BALIK KAMPUNG RAYA SECARA PERCUMA.
TV AlHijrah dengan kerjasama Maraliner akan membawa para penumpang daripada ibu kota pulang ke kampung berhari raya menerusi AlHijrah On The Bus
Empat buah bas milik Mara Liner Sdn Bhd yang bekerjasama dengan TV AlHijrah akan membawa 180 penonton setia pulang beraya ke kampung secara percuma pada Hari Raya Aidilfitri nanti.
Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini akan melalui rangkaian jalan raya di utara, selatan dan timur iaitu Perlis, Johor, Kelantan dan Terengganu untuk balik kampung.
Ketua Pegawai Eksekutif TV Al Hijrah, Namanzee Harris berkata, perjalanan pertama AlHijrah On The Bus akan berlepas pada Jumaat, 14 April ke Perlis, Johor, Kelantan dan Terengganu.
“Bagaimanapun kami belum putuskan apa pengisian untuk penumpang bas sepanjang perjalanan mungkin taranum dan sebagainya.
“Namun kami berharap ada selebriti atau pempengaruh yang ikut sekali bersama, tujuan awal AlHijrah On Bus adalah memperkenalkan jenama ini di pelosok kampung.
“Buat promo siapa yang hendak balik hantar komen kepada AlHijrah, kita akan temubual sikit tengok status kehidupannya kerana fokus kami adalah mereka yang tidak berkemampuan, ” katanya.
Majlis Pelancaran Kempen Ramadan 1444H TV AlHijrah bertemakan kempen Imarahkan Ramadan #EratkanJalinan di Zebra Square, di sini, pada Khamis.